Share |
feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Latest Release

Hikmah kelebihan Puasa, untuk kesihatan serta melawan penyakit rohani dan jasmani

Hikmah Puasa, untuk kesihatan serta melawan penyakit rohani dan jasmani

Sebagaimana kita tahu, terlalu banyak kematian sekarang ini kerana penyakit dan ramai di kalangan mereka mati ketika di usia muda lagi. Antara pembunuh-pembunuh utama ialah seperti sakit jantung, strok, kanser dan sebagainya berpunca kebanyakannya dari pemakanan kita sendiri. Sesuailah dengan hadith nabi yang bermaksud , “perut ialah rumah penyakit dan puasa adalah raja segala ubat“.

Semua perintah Allah S.W.T yang Dia syariatkan, pasti mengandungi faedah dan manfaat , begitu juga dengan semua yang dilarang oleh Allah S.W.T pasti kerana adanya kemudharatan dan bahaya bagi hambaNya, baik bahaya di dunia mahupun di akhirat. Baik difahami mahu pun tidak, baik di sedari ataupun tidak pasti kerana bahayanya. Semua perintah dan larangan Allah S.W.T ada HIKMAHnya.

Begitu juga dengan puasa Ramadhan yang akan kita jalani, pasti mengandungi manfaat dan faedah yang tersendiri. Walaupun masih ada lagi orang yang kalah dengan nafsunya beranggapan bahawa puasa itu hanya sebagai beban yang memberatkan, atau hanya ujian keimanan dari Allah , atau hanya sekadar suatu amalan ibadah yang berhak dihargai dengan suatu balasan dan pahala, atau hanya sekadar untuk latihan pengekangan nafsu atau hanya sekadar untuk mengangkat manusia dari darjat haiwan.

Di dalam agama lain pun ada disuruh penganutnya agar berpuasa, cuma caranya sahaja yang berlainan dengan yang disuruh di dalam Islam. Ada agama yang berpuasa tetapi bukan menahan lapar dengan tidak makan , tetapi hanya makan dan minum dalam bilangan yang lebih sedikit dari biasa. Itu masih tetap tidak relevan untuk dipanggil puasa, dan tiada hikmahnya pun. Kerana puasa yang berhikmah adalah puasa dengan tidak makan dari pagi hingga ke maghrib, dengan merehatkan perut dari bekerja sepanjang tahun.

Kajian sains dan ilmu moden berkenaan kelebihan puasa

Para penyelidik ilmu perubatan telah membuktikan bahawa puasa dapat membuang toksik / racun-racun dari badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit. Menurut Dr. Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika, “Puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.” Banyak kejayaan beliau mengubati pesakit-pesakitnya dengan menganjurkan mereka agar berpuasa sebagai alternatif kepada ubat-ubatan moden. Dan puasa bukan sahaja dapat menjaga kesihatan dan melawan penyakit bahkan dapat juga menajamkan minda kita.

Dalam ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.

Dr. Alan Cott, Seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan terhadap penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Keputusannya, ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa.

Puasa juga insyaAllah dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan di Casablanca, Morocco pada tahun 1996. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. Kesimpulan kongres itulah yang menekankan 4 fadhilat berpuasa dari sudut kesihatan yang jelas iaitu, menurunkan gula darah, tekanan darah, lipid darah dan berat badan.

Sedangkan dunia perubatan pula telah mengenal pasti pelbagai punca penyakit yang dialami masyarakat dunia masa kini dan antara penyakit yang paling kerap berlaku di dunia masa kini menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia ialah disebabkan sindrom metabolik. Sindrom ini meliputi 4 masalah iaitu: (1) glukos darah tinggi (2) Tekanan darah tinggi (3) Lipid darah tinggi dan (4) lebih berat badan atau obesiti. Dengan hanya meneliti penyakit utama dunia kini dan kesan puasa pada tubuh badan dapatlah kita simpulkan bahawa berpuasa adalah sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit sindrom metabolik yang melanda dunia masa kini.

Al-Harits seorang doktor Arab mengatakan :“Yang banyak membunuh manusia adalah kerana manusia suka memasukkan makanan pada perut sebelum makanan dalam perut dicerna.”

Dr. Alexis Carel seorang doktor antarabangsa dan pernah memperolehi penghargaan nobel dalam bidang kedoktoran telah menyatakan bahawa dengan berpuasa dapat membersihkan pernafasan.

Puasa dapat manambahkan kesegaran dan kesihatan pada tubuh, kerana perut yang sentiasa bekerja memproses makanan juga perlu berhenti bekerja buat sementara waktu. Dan ketika berpuasa itu lah perut kita berehat dan mendapat kesegaran semula untuk bekerja kemudiannya. Sama juga ibaratnya seperti enjin kereta yang mungkin tidak tahan lama jika dipaksa untuk sentiasa berjalan tanpa henti.

Saranan Rasulullah S.a.w , sahabat dan ulamak berkenaan puasa

Menahan lapar di bulan puasa ataupun diluar bulan puasa mengandungi faedah dan manfaat yang sangat besar untuk kesihatan badan dan kesihatan hati manusia. Hal ini sudah diterangkan oleh Rasulullah S.a.w dan telah dicontohkan oleh baginda dan keluarganya;

Rasulullah S.A.W bersabda ; yang ertinya, “Berpuasalah supaya kamu sihat.” (Hadith Riwayat Abu Naiim)

Sabdanya lagi yang bermaksud, “Puasa adalah pelindung”. (Hadith Riwayat Muslim, Ahmad, dan an-Nasai)

Sayyidatina Aisyah rodhiyallohu anha berkata :

مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ خُبْزِ شَعِيرٍ يَوْمَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ حَتَّى قُبِضَ

“Keluarga Muhammad tidak pernah kenyang walaupun dengan roti gandum dua hari berturut-turut sampai beliau wafat.” (Muttafaqun alaihi)

Nabi S.a.w bersabda :

أَكْثَرَهُمْ شِبَعًا فِي الدُّنْيَا أَطْوَلُهُمْ جُوعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Orang yang paling banyak kenyang di dunia adalah yang paling lama lapar di akhirat.” (Hadith Riwayat Al-Bazzar)

Al-Imam Ath-Thabrani juga meriwayatkan dengan sanad hasan yang bermaksud; “Orang yang banyak kenyang di dunia mereka adalah orang yang banyak lapar di akhirat.”

Al-Imam Al-Baihaqi meriwayatkan : "Dunia adalah penjaranya orang mukmin dan syurganya orang kafir.”

Al-Imam Muslim juga meriwayatkan hadits dari Rasulullah bahawa baginda bersabda :

خَيْرٌ القُرُوْنِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَأْتِيْ قَوْمٌ يَشْهَدُوْنَ وَلاَيَسْتَشْهَدُوْنَ وَيَنْذُرُوْنَ وَلاَ يُوْقُوْنَ وَيَظْهَرُوْنَ فِيْهِمُ السِّمَنُ

“Sebaik-baik generasi adalah generasiku, kemudian generasi berikutnya kemudian berikutnya. Kemudian akan datang suatu kaum mereka memberikan persaksian padahal tidak diminta persaksiannya. Mereka banyak bernadzar tetapi tidak menunaikannya. Dan banyak di kalangan mereka orang-orang gemuk/ gendut.”

Al-Imam Thabrani dan Ibnu Abi Dunya meriwayatkan hadits :“Akan terjadi pada umatku seseorang memakan semua jenis makanan, meminum semua jenis minuman, memakai semua jenis pakaian dan banyak berbicara. Maka mereka itulah paling buruknya umatku.”

Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah meriwayatkan hadits :

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

“ Tidaklah Bani Adam memenuhi kantung yang lebih buruk dari perutnya, hendaknya Bani Adam makan sekadar menegakkan punggungnya, jika tidak dapat tidak (terpaksa) maka makanlah sepertiga makanan sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk nafasnya.” (Hadith Riwayat Imam Tirmidzi)

Setelah membawakan sebahagian hadits-hadits di atas, Al-Imam Ash-shon’ani rahimahullah berkata :“Hadits ini menunjukkan atas tercelanya banyak makan dan kenyang kerana menimbulkan berbagai penyakit dan memberatkan seseorang untuk melaksanakan hukum syar’i/ ibadah.”

Manfaat lapar untuk kesihatan hati

Adapun manfaat lapar untuk kesihatan hati, para ulama telah menerangkannya : Luqman Al-Hakim menasihati anaknya, “Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah.”

Abdullah bin Mas’ud berkata, “Empat perkara yang mengelapkan hati atau melembapkan otak : perut yang terlalu kenyang, berkawan dengan orang yang suka membuat maksiat, tidak insaf terhadap dosa-dosa yang lalu dan panjang angan-angan.”

Berkata Dzunnun ‘ailaihissalam :“Saya tidak pernah kenyang kecuali saya berbuat maksiat atau berkeinginan untuk bermaksiat”.

Berkata ‘Aisyah radiyallahu ‘anha:“Bid’ah pertama yang terjadi setelah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam adalah kenyang sesungguhnya suatu kaum ketika kenyang perutnya keras nafsunya untuk mendapatkan dunia”

Berkata al Imam ash Shan’ani rahimahullah :“Sesungguhnya lapar itu adalah penjaga dari penjagaan Allah dan pertama yang terhindar dengan lapar adalah dorongan syahwat jima’ dan syahwat berbicara kerana bagi orang yang lapar tidak ada keinginan untuk berbicara kecuali sangat penting sehingga dia terhindar dari berbagai penyakit lisan, pada orang yang lapar juga tidak bangkit padanya syahwat jima’nya sehingga terhindar dari penyaluran syahwat yang diharamkan, orang lapar juga sedikit tidur kerana orang yang banyak makan dan minum akan banyak tidur yang dapat membawa kepada kerugian di dunia dan akhiratnya, terluput dari berbagai kemanfataan duniawi dan ukhrowi”.

Berkata Al-Imam Ibnu Rajab rahimahullah :“Lapar itu menyebabkan lembutnya hati, kuatnya pemahaman, lembutnya jiwa, lemahnya nafsu dan kemarahan. Sedangkan kenyang menyebabkan lawannya.”

Berkata Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah :“Wahai Bani Adam, makanlah sepertiga perutmu, minumlah sepertiga perutmu dan biarkan sepertiga untuk bernafas dan berfikir.”

Ibnu Abi Dunya meriwayatkan bahawa Ibnu Umar berkata :“Aku tidak pernah kenyang sejak aku masuk Islam.”

Diriwayatkan dari Amir bin Qois , bahawa dia berkata :“Jauhilah oleh kalian kenyang, kerana kenyang itu mengeraskan hati.”

Telah berkata Malik bin Dinar rahimahullah :“Tidak semestinya, seorang mukmin menjadikan perutnya paling besar cita-citanya dan menjadikan syahwatnya menguasai dirinya.”

Berkata Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah :“Adalah bapa kita Adam diuji dengan makan, dan terus kalian akan diuji dengan makan sampai hari kiamat.”

Beliau juga berkata :“Barangsiapa mampu menguasai perutnya maka dia akan mampu menguasai amal sholehnya.”

Beliau berkata lagi :“Tidaklah hikmah itu berada di perut yang penuh.”

Diriwayatkan dari Abdul Aziz bin Abi Dawud bahawa telah dikatakan padanya :“Lapar itu banyak menolong seseorang bersegera melakukan kebaikan.”

Berkata Abu Imran Al-Juwaini :“Sesungguhnya nafsu, jika lapar dan haus maka bersih hati dan lembut dan jika perut kenyang dan lega maka hatinya buta.”

Beliau berkata :“Kunci dunia adalah kenyang dan kunci akhirat adalah lapar, dan pangkal segala kebaikan dunia dan akhirat adalah takut kepada Allah. Sesungguhnya Allah memberikan dunia ini kepada orang yang dicintai dan yang tidak, dan sesungguhnya lapar itu di sisi Allah ada simpanan yang ditunda dan tidak diberikan kecuali kepada orang yang dicintai-Nya.”

Berkata Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah :“Saya tidak pernah kenyang selama 16 tahun, kerana kenyang itu memberatkan badan, menghilangkan kecerdasan, membuat banyak tidur dan melemahkan seseorang untuk melakukan ibadah.”

“Bukanlah puasa itu hanya sekadar menghentikan makan dan minum tetapi puasa itu ialah menghentikan omong-omong kosong dan kata-kata kotor.”  (Hadith Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Demikian kehidupan Rasulullah dan para shahabat. Beliau dan para shahabatnya lebih memilih banyak lapar dari pada kenyang kerana kefahamannya terhadap faedah lapar dan bahaya kenyang, lebih memilih mengekang syahwatnya daripada menurut syahwat, dan bukannya pada mereka tidak ada makanan tetapi beliau lebih memilih keadaan yang lebih baik dan lebih sempurna daripada lawannya. Mereka makan dan minum sekadar dapat melaksanakan ibadah, kerana hanya untuk itu (untuk beribadah) diciptakannya jin dan manusia.

Seringnya Rasulullah makan tiga hari sekali sampai wafat bukan makan sehari tiga kali seperti budaya kita.

Rahsia-rahsia puasa dan syarat-syarat kebatinannya menurut Imam AlGhazali

Semua ada enam iaitu:

1. Memejamkan mata dan menahannya dari meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, seperti melalaikannya dari berzikir dan mengingat kepada Allah.

2. Memelihara lidah dari bersembang kosong, berbohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya’.

3. Memelihara pendengaran dari mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah Allah s.w.t telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud: “Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.” (Surah al-Maidah : Ayat 42)

4. Memelihara seluruh anggota yang lain dari membuat dosa seperti tangan dan kaki dan memeliharanya juga dari segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut dari memakan barang-barang yang bersyubhat waktu berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa dari makanan yang halal, kemudian dia berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana yang indah, kemudian dia menghancurkan sebuah kota. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Ada ramai orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi dari puasanya itu selain dari lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala).”

Ada yang mengatakan bahawa orang itu adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan yang haram. Yang lain pula mengatakan orang itu ialah orang yang menahan dirinya berpuasa dari makanan yang halal, lalu ia berbuka dengan memakan daging manusia; iaitu mencaci maki orang kerana yang demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengertikannya dengan orang yang tiada memelihara anggota-anggotanya dari dosa.

5. Janganlah dia membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun dari makanan yang halal, sehingga terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dari makanan yang halal. Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah (syaitan) dan melawan syahwat kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah bermacam ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkan pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan sebelumnya.

Sebagaimana yang termaklum bahawa maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai-bagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibiasakan sebelumnya mungkin ia tetap pada kebiasaannya.

Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan sebagai cara-cara yang menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tidak dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka ia terlindung dari kerajaan langit.

6. Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harap kerana ia tiada mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah, sehingga tergolongnya ia ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah) ataupun puasanya tertolak maka terkiralah ia ke dalam golongan orang yang terjauh dari rahmat Allah Ta’ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Ta’ala.

Penutup

Semoga kita diberikan kekuatan dan kerajinan untuk berpuasa dan menambahkan ibadah-ibadah lain di bulan Ramadhan yang mulia ini. Lebih-lebih lagi bulan Ramadhan ini lah digarinya para syaitan dari golongan jin dari menghasut manusia dan adanya malam Lailatul Qadar iaitu satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, masyaAllah. Semoga kita dapat beribadah dengan baik di malam tersebut dan dikurniakan oleh Allah pahala agar dapat terselamat kita semua dari nerakaNya, amiin.

Tidak lupa kepada para perokok-perokok, bulan Ramadhan ini lah peluang anda untuk belajar berhenti menghisap rokok kerana di siang hari anda sudah tidak dapat hisap rokok. Dan jangan pula di malam harinya anda membalas dendam apa yang anda tidak boleh lakukan pada waktu siang itu. Sebaliknya cuba makan makanan yang dapat membantu lagi untuk membuang toksik / racun dalam badan anda. Sekiranya racun-racun itu sudah tiada lagi, maka insyaAllah anda tidak akan ketagih lagi. Pengalaman saya sendiri, saya cuba melawan selama hampir sebulan sahaja untuk berhenti merokok dengan tidak menyentuhnya langsung. Selepas itu anda tidak akan rasa mahu merokok lagi malahan akan rasa muak dengan asap rokok kerana badan anda sudah tiada kandungan racun-racun yang menyebabkan ketagihan itu.

Ketahuilah, ramai perokok yang sudah berjaya berhenti merokok pada bulan Ramadhan, maka saya harap kali ini giliran anda pula. Saya pun sudah hampir 3 tahun berhenti merokok dan insyaAllah saya sudah tidak mahu menyentuhnya lagi. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih! Selamat berhenti merokok kerana merokok boleh mendatangkan kepada anda segala penyakit yang merbahaya bukan sahaja kepada diri anda tetapi juga orang lain. Adakah anda mahu menanggung dosa terhadap orang lain itu? Mudah-mudahan Allah membantu memudahkan usaha anda untuk berhenti merokok, amiin.

Dan semoga segala ibadah kita diterima di sisi Allah sebagai ibadah yang diredhai Allah, bermanfaat pada diri kita, baik dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat lebih-lebih lagi. Selamat menjalani ibadah puasa Ramadhan. Baarokallahu lakum …….

Wallahu a‘lam …….

Rujukan :

1. Tafsir Taisirul karimur Rohman – Al-Imam As-Sa’di.
2. Bahjatun Nadzirin syarah Riyadhussholihin – Syaikh Salim bin Ied Al-Hilaly. Al-Imam Ibnul Qoyyim.
3. Jami’ul Ulum wal Hikam – Al-Imam ibnu Rajab rahimahullah.
4. Subulussalam Syarah Bulughul Maram – Al-Imam As-Shon’ani rahimahullah.
5. Hikmah Puasa Dan Qiyam Ramadhan Menurut Perspektif Islam Dan Sains – Dr. Abu Bakar bin Abdul Majid
6. Bimbingan Mu’min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama – Imam ALGhazali
* http://unikversiti.blogspot.my





0 comments:

Post a Comment

Sponsor Live

CO.CC:Free Domain
Free Website Hosting

menu

Balliq-List

New Latest Youtube free Video Download No Sex Adult