Latest Release
Hikmah kelebihan Puasa, untuk kesihatan serta melawan penyakit rohani dan jasmani
Hikmah Puasa, untuk kesihatan serta melawan penyakit rohani dan jasmani
Sebagaimana
 kita tahu, terlalu banyak kematian sekarang ini kerana penyakit dan 
ramai di kalangan mereka mati ketika di usia muda lagi. Antara 
pembunuh-pembunuh utama ialah seperti sakit jantung, strok, kanser dan 
sebagainya berpunca kebanyakannya dari pemakanan kita sendiri. Sesuailah
 dengan hadith nabi yang bermaksud , “perut ialah rumah penyakit dan 
puasa adalah raja segala ubat“.
Semua perintah Allah S.W.T yang 
Dia syariatkan, pasti mengandungi faedah dan manfaat , begitu juga 
dengan semua yang dilarang oleh Allah S.W.T pasti kerana adanya 
kemudharatan dan bahaya bagi hambaNya, baik bahaya di dunia mahupun di 
akhirat. Baik difahami mahu pun tidak, baik di sedari ataupun tidak 
pasti kerana bahayanya. Semua perintah dan larangan Allah S.W.T ada 
HIKMAHnya.
Begitu juga dengan puasa Ramadhan yang akan kita 
jalani, pasti mengandungi manfaat dan faedah yang tersendiri. Walaupun 
masih ada lagi orang yang kalah dengan nafsunya beranggapan bahawa puasa
 itu hanya sebagai beban yang memberatkan, atau hanya ujian keimanan 
dari Allah , atau hanya sekadar suatu amalan ibadah yang berhak dihargai
 dengan suatu balasan dan pahala, atau hanya sekadar untuk latihan 
pengekangan nafsu atau hanya sekadar untuk mengangkat manusia dari 
darjat haiwan.
Di dalam agama lain pun ada disuruh penganutnya 
agar berpuasa, cuma caranya sahaja yang berlainan dengan yang disuruh di
 dalam Islam. Ada agama yang berpuasa tetapi bukan menahan lapar dengan 
tidak makan , tetapi hanya makan dan minum dalam bilangan yang lebih 
sedikit dari biasa. Itu masih tetap tidak relevan untuk dipanggil puasa,
 dan tiada hikmahnya pun. Kerana puasa yang berhikmah adalah puasa 
dengan tidak makan dari pagi hingga ke maghrib, dengan merehatkan perut 
dari bekerja sepanjang tahun.
Kajian sains dan ilmu moden berkenaan kelebihan puasa
Para
 penyelidik ilmu perubatan telah membuktikan bahawa puasa dapat membuang
 toksik / racun-racun dari badan dan secara tidak langsung dapat 
meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit. Menurut Dr. 
Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika, “Puasa adalah seperti tongkat 
ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.” Banyak 
kejayaan beliau mengubati pesakit-pesakitnya dengan menganjurkan mereka 
agar berpuasa sebagai alternatif kepada ubat-ubatan moden. Dan puasa 
bukan sahaja dapat menjaga kesihatan dan melawan penyakit bahkan dapat 
juga menajamkan minda kita.
Dalam ilmu biologi, ketika perut dan 
usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan 
baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja
 penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu 
kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan 
rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah 
tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar 
dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan 
aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.
Dr.
 Alan Cott, Seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan terhadap
 penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah 
kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang 
rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Keputusannya, 
ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor 
(markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang
 tidak berpuasa.
Puasa juga insyaAllah dapat menyembuhkan 
pelbagai penyakit. Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan 
Ramadhan” telah diadakan di Casablanca, Morocco pada tahun 1996. 
Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih 
kurang 50 kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa mampu 
mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi 
manusia. Kesimpulan kongres itulah yang menekankan 4 fadhilat berpuasa 
dari sudut kesihatan yang jelas iaitu, menurunkan gula darah, tekanan 
darah, lipid darah dan berat badan.
Sedangkan dunia perubatan 
pula telah mengenal pasti pelbagai punca penyakit yang dialami 
masyarakat dunia masa kini dan antara penyakit yang paling kerap berlaku
 di dunia masa kini menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia ialah 
disebabkan sindrom metabolik. Sindrom ini meliputi 4 masalah iaitu: (1) 
glukos darah tinggi (2) Tekanan darah tinggi (3) Lipid darah tinggi dan 
(4) lebih berat badan atau obesiti. Dengan hanya meneliti penyakit utama
 dunia kini dan kesan puasa pada tubuh badan dapatlah kita simpulkan 
bahawa berpuasa adalah sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit 
sindrom metabolik yang melanda dunia masa kini.
Al-Harits seorang
 doktor Arab mengatakan :“Yang banyak membunuh manusia adalah kerana 
manusia suka memasukkan makanan pada perut sebelum makanan dalam perut 
dicerna.”
Dr. Alexis Carel seorang doktor antarabangsa dan pernah
 memperolehi penghargaan nobel dalam bidang kedoktoran telah menyatakan 
bahawa dengan berpuasa dapat membersihkan pernafasan.
Puasa dapat
 manambahkan kesegaran dan kesihatan pada tubuh, kerana perut yang 
sentiasa bekerja memproses makanan juga perlu berhenti bekerja buat 
sementara waktu. Dan ketika berpuasa itu lah perut kita berehat dan 
mendapat kesegaran semula untuk bekerja kemudiannya. Sama juga ibaratnya
 seperti enjin kereta yang mungkin tidak tahan lama jika dipaksa untuk 
sentiasa berjalan tanpa henti.
Saranan Rasulullah S.a.w , sahabat dan ulamak berkenaan puasa
Menahan
 lapar di bulan puasa ataupun diluar bulan puasa mengandungi faedah dan 
manfaat yang sangat besar untuk kesihatan badan dan kesihatan hati 
manusia. Hal ini sudah diterangkan oleh Rasulullah S.a.w dan telah 
dicontohkan oleh baginda dan keluarganya;
Rasulullah S.A.W bersabda ; yang ertinya, “Berpuasalah supaya kamu sihat.” (Hadith Riwayat Abu Naiim)
Sabdanya lagi yang bermaksud, “Puasa adalah pelindung”. (Hadith Riwayat Muslim, Ahmad, dan an-Nasai)
Sayyidatina Aisyah rodhiyallohu anha berkata :
مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ خُبْزِ شَعِيرٍ يَوْمَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ حَتَّى قُبِضَ
“Keluarga
 Muhammad tidak pernah kenyang walaupun dengan roti gandum dua hari 
berturut-turut sampai beliau wafat.” (Muttafaqun alaihi)
Nabi S.a.w bersabda :
أَكْثَرَهُمْ شِبَعًا فِي الدُّنْيَا أَطْوَلُهُمْ جُوعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Orang yang paling banyak kenyang di dunia adalah yang paling lama lapar di akhirat.” (Hadith Riwayat Al-Bazzar)
Al-Imam
 Ath-Thabrani juga meriwayatkan dengan sanad hasan yang bermaksud; 
“Orang yang banyak kenyang di dunia mereka adalah orang yang banyak 
lapar di akhirat.”
Al-Imam Al-Baihaqi meriwayatkan : "Dunia adalah penjaranya orang mukmin dan syurganya orang kafir.”
Al-Imam Muslim juga meriwayatkan hadits dari Rasulullah bahawa baginda bersabda :
خَيْرٌ
 القُرُوْنِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ 
يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَأْتِيْ قَوْمٌ يَشْهَدُوْنَ وَلاَيَسْتَشْهَدُوْنَ 
وَيَنْذُرُوْنَ وَلاَ يُوْقُوْنَ وَيَظْهَرُوْنَ فِيْهِمُ السِّمَنُ
“Sebaik-baik
 generasi adalah generasiku, kemudian generasi berikutnya kemudian 
berikutnya. Kemudian akan datang suatu kaum mereka memberikan persaksian
 padahal tidak diminta persaksiannya. Mereka banyak bernadzar tetapi 
tidak menunaikannya. Dan banyak di kalangan mereka orang-orang gemuk/ 
gendut.”
Al-Imam Thabrani dan Ibnu Abi Dunya meriwayatkan hadits 
:“Akan terjadi pada umatku seseorang memakan semua jenis makanan, 
meminum semua jenis minuman, memakai semua jenis pakaian dan banyak 
berbicara. Maka mereka itulah paling buruknya umatku.”
Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah meriwayatkan hadits :
مَا
 مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ 
أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ 
لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ
“ Tidaklah 
Bani Adam memenuhi kantung yang lebih buruk dari perutnya, hendaknya 
Bani Adam makan sekadar menegakkan punggungnya, jika tidak dapat tidak 
(terpaksa) maka makanlah sepertiga makanan sepertiga untuk minuman dan 
sepertiga untuk nafasnya.” (Hadith Riwayat Imam Tirmidzi)
Setelah
 membawakan sebahagian hadits-hadits di atas, Al-Imam Ash-shon’ani 
rahimahullah berkata :“Hadits ini menunjukkan atas tercelanya banyak 
makan dan kenyang kerana menimbulkan berbagai penyakit dan memberatkan 
seseorang untuk melaksanakan hukum syar’i/ ibadah.”
Manfaat lapar untuk kesihatan hati
Adapun
 manfaat lapar untuk kesihatan hati, para ulama telah menerangkannya : 
Luqman Al-Hakim menasihati anaknya, “Wahai anakku, apabila perut 
dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan 
hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk 
beribadah.”
Abdullah bin Mas’ud berkata, “Empat perkara yang 
mengelapkan hati atau melembapkan otak : perut yang terlalu kenyang, 
berkawan dengan orang yang suka membuat maksiat, tidak insaf terhadap 
dosa-dosa yang lalu dan panjang angan-angan.”
Berkata Dzunnun ‘ailaihissalam :“Saya tidak pernah kenyang kecuali saya berbuat maksiat atau berkeinginan untuk bermaksiat”.
Berkata
 ‘Aisyah radiyallahu ‘anha:“Bid’ah pertama yang terjadi setelah 
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam adalah kenyang sesungguhnya suatu
 kaum ketika kenyang perutnya keras nafsunya untuk mendapatkan dunia”
Berkata
 al Imam ash Shan’ani rahimahullah :“Sesungguhnya lapar itu adalah 
penjaga dari penjagaan Allah dan pertama yang terhindar dengan lapar 
adalah dorongan syahwat jima’ dan syahwat berbicara kerana bagi orang 
yang lapar tidak ada keinginan untuk berbicara kecuali sangat penting 
sehingga dia terhindar dari berbagai penyakit lisan, pada orang yang 
lapar juga tidak bangkit padanya syahwat jima’nya sehingga terhindar 
dari penyaluran syahwat yang diharamkan, orang lapar juga sedikit tidur 
kerana orang yang banyak makan dan minum akan banyak tidur yang dapat 
membawa kepada kerugian di dunia dan akhiratnya, terluput dari berbagai 
kemanfataan duniawi dan ukhrowi”.
Berkata Al-Imam Ibnu Rajab 
rahimahullah :“Lapar itu menyebabkan lembutnya hati, kuatnya pemahaman, 
lembutnya jiwa, lemahnya nafsu dan kemarahan. Sedangkan kenyang 
menyebabkan lawannya.”
Berkata Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah 
:“Wahai Bani Adam, makanlah sepertiga perutmu, minumlah sepertiga 
perutmu dan biarkan sepertiga untuk bernafas dan berfikir.”
Ibnu Abi Dunya meriwayatkan bahawa Ibnu Umar berkata :“Aku tidak pernah kenyang sejak aku masuk Islam.”
Diriwayatkan dari Amir bin Qois , bahawa dia berkata :“Jauhilah oleh kalian kenyang, kerana kenyang itu mengeraskan hati.”
Telah
 berkata Malik bin Dinar rahimahullah :“Tidak semestinya, seorang mukmin
 menjadikan perutnya paling besar cita-citanya dan menjadikan syahwatnya
 menguasai dirinya.”
Berkata Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah 
:“Adalah bapa kita Adam diuji dengan makan, dan terus kalian akan diuji 
dengan makan sampai hari kiamat.”
Beliau juga berkata :“Barangsiapa mampu menguasai perutnya maka dia akan mampu menguasai amal sholehnya.”
Beliau berkata lagi :“Tidaklah hikmah itu berada di perut yang penuh.”
Diriwayatkan
 dari Abdul Aziz bin Abi Dawud bahawa telah dikatakan padanya :“Lapar 
itu banyak menolong seseorang bersegera melakukan kebaikan.”
Berkata
 Abu Imran Al-Juwaini :“Sesungguhnya nafsu, jika lapar dan haus maka 
bersih hati dan lembut dan jika perut kenyang dan lega maka hatinya 
buta.”
Beliau berkata :“Kunci dunia adalah kenyang dan kunci 
akhirat adalah lapar, dan pangkal segala kebaikan dunia dan akhirat 
adalah takut kepada Allah. Sesungguhnya Allah memberikan dunia ini 
kepada orang yang dicintai dan yang tidak, dan sesungguhnya lapar itu di
 sisi Allah ada simpanan yang ditunda dan tidak diberikan kecuali kepada
 orang yang dicintai-Nya.”
Berkata Al-Imam Asy-Syafi’i 
rahimahullah :“Saya tidak pernah kenyang selama 16 tahun, kerana kenyang
 itu memberatkan badan, menghilangkan kecerdasan, membuat banyak tidur 
dan melemahkan seseorang untuk melakukan ibadah.”
“Bukanlah puasa
 itu hanya sekadar menghentikan makan dan minum tetapi puasa itu ialah 
menghentikan omong-omong kosong dan kata-kata kotor.”  (Hadith Riwayat 
Ibnu Khuzaimah)
Demikian kehidupan Rasulullah dan para shahabat. 
Beliau dan para shahabatnya lebih memilih banyak lapar dari pada kenyang
 kerana kefahamannya terhadap faedah lapar dan bahaya kenyang, lebih 
memilih mengekang syahwatnya daripada menurut syahwat, dan bukannya pada
 mereka tidak ada makanan tetapi beliau lebih memilih keadaan yang lebih
 baik dan lebih sempurna daripada lawannya. Mereka makan dan minum 
sekadar dapat melaksanakan ibadah, kerana hanya untuk itu (untuk 
beribadah) diciptakannya jin dan manusia.
Seringnya Rasulullah makan tiga hari sekali sampai wafat bukan makan sehari tiga kali seperti budaya kita.
Rahsia-rahsia puasa dan syarat-syarat kebatinannya menurut Imam AlGhazali
Semua ada enam iaitu:
1.
 Memejamkan mata dan menahannya dari meluaskan pemandangan kepada segala
 perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala 
sesuatu yang boleh mengganggu hati, seperti melalaikannya dari berzikir 
dan mengingat kepada Allah.
2. Memelihara lidah dari bersembang kosong, berbohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya’.
3.
 Memelihara pendengaran dari mendengar hal-hal yang dilarang dan 
dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan haram pula didengarkan. Dan 
kerana itu jugalah Allah s.w.t telah menyamakan pendengaran kepada 
sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, 
sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud: “Mereka itu suka mendengar 
perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.” (Surah al-Maidah : 
Ayat 42)
4. Memelihara seluruh anggota yang lain dari membuat 
dosa seperti tangan dan kaki dan memeliharanya juga dari segala yang 
dibenci. Demikian pula menahan perut dari memakan barang-barang yang 
bersyubhat waktu berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa dari makanan 
yang halal, kemudian dia berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. 
Orang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan 
sebuah istana yang indah, kemudian dia menghancurkan sebuah kota. 
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ada ramai orang yang berpuasa tetapi 
ia tiada memperolehi dari puasanya itu selain dari lapar dan dahaga 
(yakni tiada mendapat pahala).”
Ada yang mengatakan bahawa orang 
itu adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan yang haram. Yang 
lain pula mengatakan orang itu ialah orang yang menahan dirinya berpuasa
 dari makanan yang halal, lalu ia berbuka dengan memakan daging manusia;
 iaitu mencaci maki orang kerana yang demikian itu adalah haram 
hukumnya. Ada yang mengertikannya dengan orang yang tiada memelihara 
anggota-anggotanya dari dosa.
5. Janganlah dia membanyakkan makan
 waktu berbuka puasa, sekalipun dari makanan yang halal, sehingga 
terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah
 s.w.t. daripada perut yang penuh dari makanan yang halal. Cubalah 
renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah (syaitan) dan 
melawan syahwat kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa 
waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan 
berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu 
siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu 
berbagai-bagai rencamnya sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya.
 Akhirnya dikumpulkanlah bermacam ragam makanan untuk persediaan 
menyambut Ramadhan, dan dihidangkan pula dalam satu bulan itu 
bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan 
sebelumnya.
Sebagaimana yang termaklum bahawa maksud puasa itu 
adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk 
taat dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang 
perut di siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat 
berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula
 dengan berbagai-bagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut 
kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada 
makanan-makanan itu. Malah akan timbul syahwat pula keinginan yang baru,
 yang kalau tidak dibiasakan sebelumnya mungkin ia tetap pada 
kebiasaannya. 
Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan 
tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah 
untuk melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan 
sebagai cara-cara yang menarik manusia kepada berbagai kejahatan. 
Padahal kemahuan dan keinginan ini tidak dapat ditentang, melainkan 
dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara 
hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka ia 
terlindung dari kerajaan langit.
6. Hendaklah hatinya merasa 
bimbang antara takut dan harap kerana ia tiada mengetahui apakah amalan 
puasanya itu diterima oleh Allah, sehingga tergolongnya ia ke dalam puak
 muqarrabin (hampir kepada Allah) ataupun puasanya tertolak maka 
terkiralah ia ke dalam golongan orang yang terjauh dari rahmat Allah 
Ta’ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri 
seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah 
Ta’ala.
Penutup
Semoga kita diberikan kekuatan dan 
kerajinan untuk berpuasa dan menambahkan ibadah-ibadah lain di bulan 
Ramadhan yang mulia ini. Lebih-lebih lagi bulan Ramadhan ini lah 
digarinya para syaitan dari golongan jin dari menghasut manusia dan 
adanya malam Lailatul Qadar iaitu satu malam yang lebih baik dari seribu
 bulan, masyaAllah. Semoga kita dapat beribadah dengan baik di malam 
tersebut dan dikurniakan oleh Allah pahala agar dapat terselamat kita 
semua dari nerakaNya, amiin.
Tidak lupa kepada para 
perokok-perokok, bulan Ramadhan ini lah peluang anda untuk belajar 
berhenti menghisap rokok kerana di siang hari anda sudah tidak dapat 
hisap rokok. Dan jangan pula di malam harinya anda membalas dendam apa 
yang anda tidak boleh lakukan pada waktu siang itu. Sebaliknya cuba 
makan makanan yang dapat membantu lagi untuk membuang toksik / racun 
dalam badan anda. Sekiranya racun-racun itu sudah tiada lagi, maka 
insyaAllah anda tidak akan ketagih lagi. Pengalaman saya sendiri, saya 
cuba melawan selama hampir sebulan sahaja untuk berhenti merokok dengan 
tidak menyentuhnya langsung. Selepas itu anda tidak akan rasa mahu 
merokok lagi malahan akan rasa muak dengan asap rokok kerana badan anda 
sudah tiada kandungan racun-racun yang menyebabkan ketagihan itu.
Ketahuilah,
 ramai perokok yang sudah berjaya berhenti merokok pada bulan Ramadhan, 
maka saya harap kali ini giliran anda pula. Saya pun sudah hampir 3 
tahun berhenti merokok dan insyaAllah saya sudah tidak mahu menyentuhnya
 lagi. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih! Selamat berhenti merokok 
kerana merokok boleh mendatangkan kepada anda segala penyakit yang 
merbahaya bukan sahaja kepada diri anda tetapi juga orang lain. Adakah 
anda mahu menanggung dosa terhadap orang lain itu? Mudah-mudahan Allah 
membantu memudahkan usaha anda untuk berhenti merokok, amiin.
Dan
 semoga segala ibadah kita diterima di sisi Allah sebagai ibadah yang 
diredhai Allah, bermanfaat pada diri kita, baik dalam kehidupan di dunia
 mahupun di akhirat lebih-lebih lagi. Selamat menjalani ibadah puasa 
Ramadhan. Baarokallahu lakum …….
Wallahu a‘lam …….
Rujukan :
1. Tafsir Taisirul karimur Rohman – Al-Imam As-Sa’di.
2. Bahjatun Nadzirin syarah Riyadhussholihin – Syaikh Salim bin Ied Al-Hilaly. Al-Imam Ibnul Qoyyim.
3. Jami’ul Ulum wal Hikam – Al-Imam ibnu Rajab rahimahullah.
4. Subulussalam Syarah Bulughul Maram – Al-Imam As-Shon’ani rahimahullah.
5. Hikmah Puasa Dan Qiyam Ramadhan Menurut Perspektif Islam Dan Sains – Dr. Abu Bakar bin Abdul Majid
6. Bimbingan Mu’min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama – Imam ALGhazali
* http://unikversiti.blogspot.my
	    
		
	   
 



 




 
 Posts
Posts
 
 

 
 
 
 
 
 
 






 
 

Post a Comment